kata pujangga

keberanian adalah sesuatu perkara yang si pengecut katakan bodoh


Selasa, 7 Jun 2016

Anak pertama


Dengan Nama Allah Yang maha pemurah Lagi pengasihani.
Dulu , tahun 2014 aku pernah tulis satu artikel yang tak mengikut format artikel sebab aku mana tahu format-format ni. Bagi aku, format ni untuk masuk pertandingan saja. Kalau untuk tulisan peribadi format adalah suatu yang menyekat kepelbagaian kreativitas masing-masing penulis. Jadi dalam tulisan ini aku buat remake untuk tulisan pada 2 mei tahun 2014 tentang anak sulung. Yang aku lihat ada suatu kebaikan yang akan aku kau dan kita peroleh darinya. Ada penambahbaikan dan pembetulan struktur ayat serta kalimah yang sesuai berbanding tulisan terdahulu.

Mula:

Sebentar tadi aku pesan air laici dan dua keping roti telur. Roti telur dia, Subhanallah Tabarakallah. Sangat sedap dan tidaklah menjadi kerugian apa bila terpaksa menunggu lama dan ada budak kecil menangis tak henti-henti. Aku pun cuba berselawat perlahan-lahan ke telinga sendiri. Dan akhirnya aku berjaya menenangkan diri aku sendiri. Syukur. Budak yang nangis tadi belum berhenti. Dan aku pula menangis makan roti telur.

Pendahuluan hambar di atas tiada kena mengena dengan apa yang aku nak tulis kedepan. Aku sebenarnya bukan nak cerita pasal makanan tadi atau perkara yang jadi tadi. Tapi benda yang aku nak cerita adalah pasal anak sulung bukan anak pak sulung atau syahirah sulung. Ah lupakan. Aku mahu ceritakan perihal  anak sulung atau first born atau eldest child. Nasiblah mana-mana pun. Asal kau faham. Tak faham sudahlah.
Kalau kau anak sulung, kau patut merasa kembang  kuncup dan bajet bagus sebab kau adalah zuriat pertama yang lahir ke dunia ini daripada rahim ibu kau. Tidak kiralah kau lelaki ke perempuan. Sama sahaja. Tiada perbezaan.  Masih lagi anak sulung. Kau memang hebat. Anak pertama kot. Memang kena riak sikit.

Ok aku teruskan. Bila umi abah kita  baru-baru kahwin. Mereka akan selalu berdoa semoga mereka 
mendapat zuriat. Dan doa mereka terjawab dengan lahirnya kita sebagai anak pemula kata orang  atau anak sulung.  Mereka tiada pengalaman menjaga dan mendidik anak ketika dalam kandungan atau perut. Kita sebagai anak sulung menjadi model ujian kepada mereka bagaimanakah hendak melakukan perkara-perkara yang sama jika diberi rezeki anak kedua ketiga dan seterusnya. 
Anak sulung ini bukan sahaja menjadi pengalaman berharga  kepada umi abah kau malahan  kau juga menjadi  anak pertama yang didoakan oleh umi abah kita sejak dari perut lagi. Bayangkan dari kita dekat rahim ibu kita lagi dia dah doakan kita dan sampai sekarang umur kita belasan dan puluhan tahun. Berapa banyak kali mereka doakan kita.

Selanjutnya.  Anak sulung jugalah yang pertama sekali mendengar suara abah atau ayah. Ketika lahir ke dunia ini. Suara abah atau ayahlah yang sayup-sayup  diazankan di telinga kanan bayi lelaki dan perempuan yang masih baby sesudah kelahirannya. Dan juga disunatkan untuk diiqamatkan di telinga kiri bayi lelaki dan perempuan yang masih bayi sesudah kelahirannya. Salah satu hikmah(kelebihan)melakukannya adalah supaya kalimat seruan tersebut tentang kebesaran Allah menjadi seruan pertama yang kau dengar. Abah atau ayah kau lakukan demikian dengan kegembiraan melihat kau sebagai anak sulung yang akan menerus legasi zuriat untuk mendoakan kesejahteraan mereka.

Ingin aku tegaskan disini bahawa kemunculan kau di dunia ini  adalah sebagai kemuncak kebahagiaan mereka. Serius, mereka menjaga anak sulung seperti menatang minyak yang penuh. Kesayangan mereka kepada engkau tidak berbelah bagi. Engkau ibarat pelengkap kepada sebuah keluarga yang harmonis dan bahagia. Kau patut berbangga dengan itu.
Aku teruskan lagi.  Masa kau tidur di waktu malam bulan mengambang. Belum sempat nyamuk nak gigit hisap darah kau. Memang awal-awal dah kena flying kick dengan ayah. Antara taktik ayah dan abah kita tak nak bagi kena gigit nyamuk adalah dengan membawa selipar dan kasut-kasut ke dalam rumah. Taktik ini adalah bertujuan untuk mengkompiuskan nyamuk. Bila para nyamuk melihat selipar tiada di depan pintu. Pasti para nyamuk ingat tak ada orang kat dalam rumah kan. Nampak bijak kan taktik berkenaan. Ia dinamakan taktik mengelirukan musuh yang sangat efektif dan inovatif. Kadang-kadang abah kita sendiri tertipu dengan nyamuk yang menyamar jadi lalat di waktu malam. Hmmmmm. Hambar.

Anak pertamalah yang mendengar si ayah dan ibu baca quran. Dan mereka juga menjadi orang pertama yang dengar kau nangis malam-malam. Orang pertama dapat dodoi.  Orang pertama dapat nenen. Orang pertama dapat kena cebuk. dan macam-macam lagi. Kalau aku tulis pasal yang pertama untuk segala hal berkenaan anak sulung memang tidak akan pernah habis. Anak pertama ada yang paling pemenang untuk segala hal.  Nak nenen, dapat.Nak susu, dapat  Nak tukar lampin, dapat. Dan mereka lakukan dengan ikhlas dan gembira. So,kau bangga menjadi yang pertama tak.???
Kesimpulannya beriyaklah kamu semua menjadi orang pertama dalam banyak keadaan. dan doakan ibu bapa kamu sekalian. Dan janganlah anak yang pertama cemburu dengan sikap manja ibu-bapa kita pada adik-adik kita. Kerana kita telah dimanjakan lebih dari mereka dapat. Dan kita harus berbangga menjadi yang pertama untuk selamanya.


Salam perdamaian dari aceh yang sering menjadi pertama mati lampu.

Selasa, 31 Mei 2016

Pertandingan Melukis


Pertandingan  melukis semakin hampir. Saya belum lagi membeli alatan untuk melukis. Saya tidak lagi bersemangat untuk menyertai pertandingan ini. Saya rasakan ini pertandingan yang berat sebelah. Mana mungkin saya memenangi pertandingan ini hanya dengan berbekalkan sekeping doa daripada orang-orang berdosa.

Lebih malang lagi, saya bukanlah seorang yang gemar lukisannya dipamerkan kepada orang-orang yang tidak tahu menilai sebuah seni agung. Ibarat menyuruh sang suami merasa sakitnya bersalin. Sang suami bodoh. Mana tahu rasa kesakitan itu. Biarkan isteri saja yang tahu. Yang sang suami tahu. Bila mahu main. Panggil isterinya. Kalau tidak isterinya. Panggil kawannya yang kaya. Ajak main FIFA16. Eh. Kita kembali kepada lukisan. Lukisan yang bagus dan menarik apabila dikomentari oleh tangan-tangan yang jahat, pasti keagungannya terlindung oleh bodohnya mata yang menilai.
Kebodohan mereka ini tidak bisa dilukiskan. Kalau pun boleh dilukis pasti lukisan itu telah dijual. Dan duit hasil jualan itu bolehlah membeli sebatang rokok. Dan fatwa rokok di indonesia adalah makruh. Makruh sebab ada ulama yang hisap rokok. Kalau ada ulama yang makan babi. Pasti babi pun makruh juga. Mungkin,saya kata. Bukan betul pun.


Sepanjang menjalani kehidupan yang suram. Saya pernah beberapa kali menyertai pertandingan melukis. Alhamdulillah. Semua pertandingan yang saya sertai saya kalah. Ketika itu saya masih dungu. Saya terlalu mengejar sesuatu yang kompleks dalam lukisan. Saya biarkan orang-orang buta terus buta. Saya lupa memberikan mereka cahaya atau paling bangsat pun tangan untuk menuntun mereka melihat lukisan saya. 

Pernah suatu ketika seorang pelukis terkenal tanah air, terkejut dengan lukisan saya. dua hari kemudian dia mati. Saya tidak tahu sebab apa. Katanya sebab hidap penyakit jantung. Saya tidak percaya itu. Saya lagi percaya kalau politik dengan rasuah itu bersaudara.

Rabu, 6 April 2016

Hari Rabu

Adam dan Kamil merupakan sahabat baik sejak dari zaman penjajahan Belanda. Ok ni tipu, bukan zaman Belanda tapi sejak dari kecil. Persahabatan mereka boleh diibaratkan seperti Rio Ferdinand dan Rio De Janeiro. 

Mereka berkongsi apa sahaja yang mereka miliki tanpa mengharapkan balasan antara satu sama lain.  Kalau Adam makan roti, Kamil makan inti. Sehinggakan gula-gula getah yang sekeping pun mereka kongsi bersama.  Mereka tidak kisah mendapat bahagian yang sedikit asalkan sama-sama merasa. Namun demikian mereka bukanlah gay seperti yang diceritakan oleh banyak orang.

Sambutan hari lahir Adam sudah semakin hampir. Kamil merancang untuk membuat kejutan sempena hari lahir sahabat yang beliau sayangi. Dia ingin membuat sambutan hari lahir yang tidak akan pernah dilupakan oleh Adam selama-lamanya.

Antara kelainan dalam majlis kali ini adalah Kamil meraikan majlis dengan menjemput semua musuh dan orang yang tidak disukai oleh Adam. Tiada seorang pun makhluk yang disukai Adam dijemput. Tambahan pula, tiada orang yang suka berkawan dengan Adam kecuali hanya Kamil seorang.  Lebih 30 orang jemputan hadir pada majlis itu.

Kini masa yang ditunggu telah tiba. Segala persiapan telah pun tersedia. Hanya menunggu Adam pulang daripada kedai biskut. Walaupun Adam tidak suka makan biskut tetapi makwe kedai biskut yang kaya itu menjadi tujuan utama untuk dia ke situ.

Kamil mengintai dari balik langsir. Tiada bayangan atau kelibat Adam dilihat.

Adam tidak muncul.. Sudah empat puluh minit lebih kurang. Kamil masih yakin untuk beberapa minit lagi sahabatnya akan pulang.

Tiba-tiba ada suara menegur kamil.

‘’Mil bila nak start ni? Lama dah aku tunggu ni’’

‘’Eh Adam bila sampai? Tak nampak pun kau masuk.’’

‘’ Aku dapat surat jemputan.’’

‘’ Maksudnya?’’

‘’Ya. Benar. Aku pun musuh kepada diri aku sendiri’’ Bisik Adam tepat ke telinga Kamil.

Cikgu Ayu

Cikgu ayu masuk kelas lambat lagi. Sepatutnya masuk jam 10 tetapi sehingga waktu sekarang beliau dan tudung fareeda beliau pun belum muncul lagi.

Sebagai ketua kelas darjah empat yang hensem, berdedikasi serta tidak makan rasuah dan makan pujian. Saya pergi ke bilik guru besar untuk melaporkan keterlambatan cikgu ayu. Sebelum pergi saya perlu memastikan keterampilan pakaian sekolah saya mengikuti peraturan dan etika yang telah sekolah tetakan. Hal ini kerana saya mahu ke bilik guru besar. Saya tidak mahu upaya saya melaporkan kesalahan cikgu ayu ini terbantut dek kerana kesalahan bodoh saya sendiri.

Saya ketuk pintu bilik guru besar dengan perlahan sambil memberi salam. Tiada jawapan. Saya cuba jenguk kedalam. Tetapi tiada orang. Saya hairan. Takkan guru besar pun lambat mengetahui  yang dia adalah seorang guru besar.

Saya tidak berpuas hati. Saya capai telefon bimbit dan menaip nombor telefon  guru besar. Saya tunggu, tunggu, tunggu. Selang beberapa minit ada seorang perempuan jawab.

Oh rupanya cikgu ayu di talian. Saya hairan. Apa hubungan cikgu ayu dan guru besar. Saya yang berumur sepuluh tahun tidak berfikir sesuatu yang negatif disini. Sperma pun saya tak tahu apa. Eh. Terlebih pula.

Jadi saya terus mematikan talian telefon sebentar tadi. Dan masih dalan kebingungan.

Tanpa berlengah lagi. Saya bangun dari katil sebelum mak saya membebel dan capai towel yang sangkut belakang pintu dan menuju ke bilik air. Ah. Malasnya pergi sekolah. Dahlah cikgu ayu masuk lambat.

Seekor gajah bercakap

Selama saya hidup ini pertama kali saya melihat gajah boleh berkata-kata. Saya rasa rugi kerana telah membayar duit tiket sebanyak 500 ringgit hanya untuk melihat seekor gajah bercakap atau secara tepatnya gajah ini sebenarnya mengutuk segala sifat buruk manusia.

Yang menjadi tanda tanya adalah apabila gajah itu menyatakan tentang salah satu sifat buruk manusia. Penonton ketawa sangat kuat sambil menepuk-nepuk tangan.

Saya cukup yakin gajah itu tidak bergurau. Lihat sajalah badan dia yang gemuk. Gajah yang gemuk mana pandai buat lawak.

Bahu kanan

Hari ini hari isnin. Hari bermula kerja untuk semua orang.

Tapi isnin ini tidak untuk saya bekerja.  Saya tidak sihat. Saya rasa badan saya sangat tidak mampu untuk bekerja secara maksimum. Pagi tadi saya pergi ke klinik untuk membeli mc. Ini kerana klinik tidak pernah mahu percaya yang saya sedang sakit. Psss saya pun tak percaya bayar lima ringgit penyakit sudah sembuh.

Semasa pulang daripada membeli mc saya mengambil keputusan untuk ke pameran perkahwinan. Saya tidak tahu mengapa saya boleh membuat keputusan yang sangat tidak menguntungkan ini.

Sebelum tiba ke dewan utama, saya singgah sebentar ke tandas untuk membasahkan muka. Nasib saya baik, saya terjumpa seorang perempuan berbaju pengantin sedang menangis. Saya menyangka dia mesti seorang model pameran pengantin yang baru sahaja dimarahi bos kerana muka hodoh. Saya tegur dia.

Rupanya dia ditinggalkan oleh pasangannya.  Saya serba salah untuk meninggalkannya seorang di situ. Tambahan pula melihat wajahnya yang sayu dan cantik rupa parasnya. Seperti baru dibeli dari kedai dan belum buka plastiknya lagi.

Jadi saya cuba tawarkan bahu untuknya. Saya beri bahu kanan. Kerana rasanya bahu kiri sudah penuh. Sudah berat. Saya sendiri tidak mampu menanggung beratnya.