kata pujangga

keberanian adalah sesuatu perkara yang si pengecut katakan bodoh


Selasa, 31 Mei 2016

Pertandingan Melukis


Pertandingan  melukis semakin hampir. Saya belum lagi membeli alatan untuk melukis. Saya tidak lagi bersemangat untuk menyertai pertandingan ini. Saya rasakan ini pertandingan yang berat sebelah. Mana mungkin saya memenangi pertandingan ini hanya dengan berbekalkan sekeping doa daripada orang-orang berdosa.

Lebih malang lagi, saya bukanlah seorang yang gemar lukisannya dipamerkan kepada orang-orang yang tidak tahu menilai sebuah seni agung. Ibarat menyuruh sang suami merasa sakitnya bersalin. Sang suami bodoh. Mana tahu rasa kesakitan itu. Biarkan isteri saja yang tahu. Yang sang suami tahu. Bila mahu main. Panggil isterinya. Kalau tidak isterinya. Panggil kawannya yang kaya. Ajak main FIFA16. Eh. Kita kembali kepada lukisan. Lukisan yang bagus dan menarik apabila dikomentari oleh tangan-tangan yang jahat, pasti keagungannya terlindung oleh bodohnya mata yang menilai.
Kebodohan mereka ini tidak bisa dilukiskan. Kalau pun boleh dilukis pasti lukisan itu telah dijual. Dan duit hasil jualan itu bolehlah membeli sebatang rokok. Dan fatwa rokok di indonesia adalah makruh. Makruh sebab ada ulama yang hisap rokok. Kalau ada ulama yang makan babi. Pasti babi pun makruh juga. Mungkin,saya kata. Bukan betul pun.


Sepanjang menjalani kehidupan yang suram. Saya pernah beberapa kali menyertai pertandingan melukis. Alhamdulillah. Semua pertandingan yang saya sertai saya kalah. Ketika itu saya masih dungu. Saya terlalu mengejar sesuatu yang kompleks dalam lukisan. Saya biarkan orang-orang buta terus buta. Saya lupa memberikan mereka cahaya atau paling bangsat pun tangan untuk menuntun mereka melihat lukisan saya. 

Pernah suatu ketika seorang pelukis terkenal tanah air, terkejut dengan lukisan saya. dua hari kemudian dia mati. Saya tidak tahu sebab apa. Katanya sebab hidap penyakit jantung. Saya tidak percaya itu. Saya lagi percaya kalau politik dengan rasuah itu bersaudara.

Rabu, 6 April 2016

Hari Rabu

Adam dan Kamil merupakan sahabat baik sejak dari zaman penjajahan Belanda. Ok ni tipu, bukan zaman Belanda tapi sejak dari kecil. Persahabatan mereka boleh diibaratkan seperti Rio Ferdinand dan Rio De Janeiro. 

Mereka berkongsi apa sahaja yang mereka miliki tanpa mengharapkan balasan antara satu sama lain.  Kalau Adam makan roti, Kamil makan inti. Sehinggakan gula-gula getah yang sekeping pun mereka kongsi bersama.  Mereka tidak kisah mendapat bahagian yang sedikit asalkan sama-sama merasa. Namun demikian mereka bukanlah gay seperti yang diceritakan oleh banyak orang.

Sambutan hari lahir Adam sudah semakin hampir. Kamil merancang untuk membuat kejutan sempena hari lahir sahabat yang beliau sayangi. Dia ingin membuat sambutan hari lahir yang tidak akan pernah dilupakan oleh Adam selama-lamanya.

Antara kelainan dalam majlis kali ini adalah Kamil meraikan majlis dengan menjemput semua musuh dan orang yang tidak disukai oleh Adam. Tiada seorang pun makhluk yang disukai Adam dijemput. Tambahan pula, tiada orang yang suka berkawan dengan Adam kecuali hanya Kamil seorang.  Lebih 30 orang jemputan hadir pada majlis itu.

Kini masa yang ditunggu telah tiba. Segala persiapan telah pun tersedia. Hanya menunggu Adam pulang daripada kedai biskut. Walaupun Adam tidak suka makan biskut tetapi makwe kedai biskut yang kaya itu menjadi tujuan utama untuk dia ke situ.

Kamil mengintai dari balik langsir. Tiada bayangan atau kelibat Adam dilihat.

Adam tidak muncul.. Sudah empat puluh minit lebih kurang. Kamil masih yakin untuk beberapa minit lagi sahabatnya akan pulang.

Tiba-tiba ada suara menegur kamil.

‘’Mil bila nak start ni? Lama dah aku tunggu ni’’

‘’Eh Adam bila sampai? Tak nampak pun kau masuk.’’

‘’ Aku dapat surat jemputan.’’

‘’ Maksudnya?’’

‘’Ya. Benar. Aku pun musuh kepada diri aku sendiri’’ Bisik Adam tepat ke telinga Kamil.

Cikgu Ayu

Cikgu ayu masuk kelas lambat lagi. Sepatutnya masuk jam 10 tetapi sehingga waktu sekarang beliau dan tudung fareeda beliau pun belum muncul lagi.

Sebagai ketua kelas darjah empat yang hensem, berdedikasi serta tidak makan rasuah dan makan pujian. Saya pergi ke bilik guru besar untuk melaporkan keterlambatan cikgu ayu. Sebelum pergi saya perlu memastikan keterampilan pakaian sekolah saya mengikuti peraturan dan etika yang telah sekolah tetakan. Hal ini kerana saya mahu ke bilik guru besar. Saya tidak mahu upaya saya melaporkan kesalahan cikgu ayu ini terbantut dek kerana kesalahan bodoh saya sendiri.

Saya ketuk pintu bilik guru besar dengan perlahan sambil memberi salam. Tiada jawapan. Saya cuba jenguk kedalam. Tetapi tiada orang. Saya hairan. Takkan guru besar pun lambat mengetahui  yang dia adalah seorang guru besar.

Saya tidak berpuas hati. Saya capai telefon bimbit dan menaip nombor telefon  guru besar. Saya tunggu, tunggu, tunggu. Selang beberapa minit ada seorang perempuan jawab.

Oh rupanya cikgu ayu di talian. Saya hairan. Apa hubungan cikgu ayu dan guru besar. Saya yang berumur sepuluh tahun tidak berfikir sesuatu yang negatif disini. Sperma pun saya tak tahu apa. Eh. Terlebih pula.

Jadi saya terus mematikan talian telefon sebentar tadi. Dan masih dalan kebingungan.

Tanpa berlengah lagi. Saya bangun dari katil sebelum mak saya membebel dan capai towel yang sangkut belakang pintu dan menuju ke bilik air. Ah. Malasnya pergi sekolah. Dahlah cikgu ayu masuk lambat.

Seekor gajah bercakap

Selama saya hidup ini pertama kali saya melihat gajah boleh berkata-kata. Saya rasa rugi kerana telah membayar duit tiket sebanyak 500 ringgit hanya untuk melihat seekor gajah bercakap atau secara tepatnya gajah ini sebenarnya mengutuk segala sifat buruk manusia.

Yang menjadi tanda tanya adalah apabila gajah itu menyatakan tentang salah satu sifat buruk manusia. Penonton ketawa sangat kuat sambil menepuk-nepuk tangan.

Saya cukup yakin gajah itu tidak bergurau. Lihat sajalah badan dia yang gemuk. Gajah yang gemuk mana pandai buat lawak.

Bahu kanan

Hari ini hari isnin. Hari bermula kerja untuk semua orang.

Tapi isnin ini tidak untuk saya bekerja.  Saya tidak sihat. Saya rasa badan saya sangat tidak mampu untuk bekerja secara maksimum. Pagi tadi saya pergi ke klinik untuk membeli mc. Ini kerana klinik tidak pernah mahu percaya yang saya sedang sakit. Psss saya pun tak percaya bayar lima ringgit penyakit sudah sembuh.

Semasa pulang daripada membeli mc saya mengambil keputusan untuk ke pameran perkahwinan. Saya tidak tahu mengapa saya boleh membuat keputusan yang sangat tidak menguntungkan ini.

Sebelum tiba ke dewan utama, saya singgah sebentar ke tandas untuk membasahkan muka. Nasib saya baik, saya terjumpa seorang perempuan berbaju pengantin sedang menangis. Saya menyangka dia mesti seorang model pameran pengantin yang baru sahaja dimarahi bos kerana muka hodoh. Saya tegur dia.

Rupanya dia ditinggalkan oleh pasangannya.  Saya serba salah untuk meninggalkannya seorang di situ. Tambahan pula melihat wajahnya yang sayu dan cantik rupa parasnya. Seperti baru dibeli dari kedai dan belum buka plastiknya lagi.

Jadi saya cuba tawarkan bahu untuknya. Saya beri bahu kanan. Kerana rasanya bahu kiri sudah penuh. Sudah berat. Saya sendiri tidak mampu menanggung beratnya.

Khamis, 31 Disember 2015

Jin gay

Karim bercinta lagi meskipun sering dikecewakan. Dia tidak pernah serik untuk bercinta. Walaupun dia tahu semua perempuan yang dicintainya hanya berpura-pura menyintai dirinya. Tetapi dia tidak kisah. Bagi dia,  cinta ini sangat penting untuk manusia meneruskan hidup. Tanpa cinta, manusia ibarat makhluk yang dicipta tanpa tujuan.

Teman wanita baru Karim bernama jamilah. Jamilah dulu pernah ada seorang teman wanita. Tapi sayang mereka tidak kekal lama.

Oh lupa nak bagitahu. Nama penuh jamilah di dalam kad pengenalan adalah jamil bin jamal.